Monday, January 18, 2010

Dr Rosli: Saya Juga Mangsa Cah Keting Pas!























PETALING JAYA, Jan 18 — Bekas ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan, Dr. Rosli Allani Abdul Kadir yang status perkahwinan beliau akhirnya disahkan Mahkamah Syariah semalam ekoran pertikaian bapa mertuanya, turut mengakui wujudnya unsur “cah keting” dalam PAS terutama dalam dilema dilaluinya. 

Justeru, Rosli mendakwa unsur ‘cah keting’ telah merumitkan situasi sukar yang beliau hadapi sejak perkahwinan keduanya pada Dis 2008.  Malah kata Rosli, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan hanya kerana beliau merupakan bekas pegawai Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa iaitu antara personaliti penting dalam politik PAS negeri itu.

“Saya bersetuju dengan Tok Guru (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) tentang wujudnya cah keting dan percaya ada unsur politik yang telah merumitkan lagi suasana yang saya lalui,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Husam yang juga bekas setiausaha politik Nik Aziz dilihat sebagai “orang kesayangan” menteri besar itu tetapi kini didakwa ada usaha untuk merenggangkan hubungan kedua-dua mereka.

Dalam ulasan yang diberikan kepada The Malaysian Insider menerusi SMS, Rosli mendakwa adalah puak-puak tertentu dalam PAS yang menggunakana amalan “cah keting”.
“Kumpulan-kumpulan dalam PAS. Saya dilabel sebagai orang Datuk Husam sebab saya bekas pegawai khas dia,” katanya.

Secara kebetulan mahkamah mengeluarkan penghakimannya dua hari selepas Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS dilaporkan secara terbuka mengakui wujud budaya “cah keting” atau amalan cantas-mencantas dalam PAS sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.

Laporan media menyebut selepas kuliah mingguannya Jumaat lalu, Nik Aziz membacakan doa memohon agar Allah melindunginya dan rakyat daripada orang yang mengamalkan sikap “cah keting”. Bacaan doa tersebut menimbulkan tanda tanya banyak pihak kerana pada masa kini, PAS dan kerajaan negeri menghadapi krisis dalaman termasuk isu berkaitan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Semalam Rosli berjaya mengetepikan perintah mufarakah atau tinggal berasingan dengan isteri keduanya, Ilyani oleh mahkamah pada 9 Nov lalu, sekali gus membatalkan perbicaraan kes induk. Pasangan tersebut juga dibenarkan mendaftar dan mengesahkan pernikahan kali kedua mereka yang berlangsung di Kampung Bangsal Wakseng, Pattani, Thailand pada 22 Dis lalu bagi meneruskan hidup sebagai suami isteri.

Hakim Syariah Mohd. Yusoff Awang membuat keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah selepas berpuas hati dengan dokumen dan afidavit sokongan oleh Rosli, 35, melalui peguamnya Mustafa Kamal Mat Hassan.

Sehari selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah agar tidak tinggal bersama isteri keduanya, Rosli meletakkan semua jawatan dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Rosli turut mengakui menjadi mangsa sindiket perkahwinan diuruskan oleh seorang bekas imam muda yang memberikan sijil dan kad perkahwinan tidak didaftarkan. Menurutnya, walaupun yakin berada di pihak yang benar, peletakan jawatannya itu adalah untuk menjaga nama baik, integriti dan persepsi masyarakat terhadap PAS

Sehubungan itu ketika ditanya sama ada akan kembali aktif berpolitik, Rosli dengan ringkas menjelaskan: “Dalam dua tahun lagi.”

(Oleh: G. Manimaran, Malaysian Insiders)


PGK: Salah satu sebab Umno tewas teruk dalam pilihanraya lalu ialah kerana amalan cah keting yang berleluasa dalam parti itu. Jika amalan yang sama ada di kalangan mereka dalam Pas, alamat Pas juga bakal mengikuti nasib Umno yang semakin lemah dan ditolak rakyat.

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.