Tuesday, January 5, 2010

Isu Gula, Enjin Jet F-5E dan Kalimah Allah Dalam Khutbah Jumaat Masjid Terengganu

Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Penggunaan Cawangan Terengganu diberitakan akan memasukkan isu kenaikan gula di dalam khutbah Jumaat masjid-masjid di Terengganu. Mengikut Pengarahnya, Mohd Helmi Mohd Noor,  ia dilakukan bagi 'memastikan orang ramai mendapat maklumat tepat berhubung isu kenaikan harga gula sejak 1 Januari lalu' itu.


"Jika tiada halangan, khutbah mengenai isu gula akan disampaikan untuk dua Jumaat berturut-turut tidak lama lagi" jelas Mohd Helmi.


Memang wajar isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat diselitkan dalam khutbah Jumaat. Ia bukan sahaja patut dibuat di masjid-masjid di Terengganu, tapi juga di negeri-negeri lain. Seperti kata Helmi, ia wajar dilakukan bagi memberi peluang orang ramai mendapat maklumat tepat mengenai sesuatu isu.


Namun sekarang ini bukan saja gula yang menjadi bualan dan isu hangat yang dibincangkan masyarakat. Isu kehilangan jet enjin pejuang F-5E dan terbaru isu penggunaan nama Allah juga antara isu yang paling popular sepanjang dua minggu kebelakangan ini. Oleh itu adakah isu-isu ini juga akan dibawa ke mimbar masjid?


Mungkin ada yang berkata isu kehilangan enjin jet pejuang dan penggunaan nama Allah tidak sesuai dibawa ke mimbar masjid kerana faktor keselamatan. Tapi masyarakat kita tidak akan selamat selagi ada pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab melakukan sesuka hati, termasuk menjual peralatan keselamatan seolah-olah negara ini mak bapa mereka punya. Oleh itu masyarakat perlu disedarkan bahawa mereka juga perlu bertanggung jawab menjaga keselamatan negara ini.





~ pendikar gunung kriang