Saturday, January 30, 2010

Mahasiswa Bukan Lagi Anak Muda Kembiri


 
l

Sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)  1971 diperkenalkan, wajah mahasiswa yang sebelumnya sensitif dengan isu semasa beansur-ansur bertukar kepada wajah longlai dan ulat buku. Tiada lagi cerita tentang kehebatan mahasiswa seperti di zaman Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Hishamuddin Rais dan Kamarazzaman Yaacob. Polis tidak lagi perlu masuk kampus untuk membuat operasi menangkap dan membalun mahasiswa. Polis tidak lagi perlu mengangkut trak berisi bom asap dan pancutan air beracun bagi menghadapi wajah garang mahasiswa. Secara beransur-ansur, Pemerintah berjaya mengubah wajah sensitif mahasiswa kepada satu wajah longlai dan ulat buku seorang sang kembiri.

Namun tahun 2010 seperti membawa nafas baru kepada kebangkitan mahasiswa yang berlaku dikebanyakan kampus. Darah panas orang muda yang menggelegak kembali mempersoalkan  hak dan tanggungjawab perjuangan. Dan demontrasi kembali menjadi warna untuk menyalurkan suara anti-penindasan dan ketidak puasan hati.


Demonstrasi  yang terjadi di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  menentang keputusan Pilihanraya Kampus yang  sepatutnya dimenangi oleh kumpulan Pro-Mahasiswa kelmarin  telah berjaya membuka mata ramai pihak bahawa suara demokrasi kembali bergema di kampus-kampus kita. Mahasiswa bukan lagi anak muda kembiri ulat buku. Mereka telah menjadi tebuan yang berani menggugat dan menggigit bila hak mereka dihimpit.

Di UKM, mahasiswa membantah keputusan pilihanraya di Fakulti Alam Bina dan Fakulti Kejuruteraan yang mengikut perkiraan asal dimenangi oleh Pro-Mahasiswa. Di UM pula suara mahasiswa telah berjaya mendesak pentadburan Universiti Malaya untuk membuat  keputusan  menggantung sementara keputusan pilihan raya kampus yang tidak telus dan memberi kelebihan kepada kumpulan aspirasi yang pro-kerajaan.

Di UPM pula, belum ada sebarang demontrasi dibuat walaupun pihak pentadbiran Universiti telah membatalkan kemenangan calon-calon Pro-Mahasiswa yang menang atas alasan yang sangat kebudak-budakan. Setakat ini belum ada maklumat dari kampus lain, tetapi ramai percaya zaman mahasiswa di cop sebagai anak muda kembiri sudah berlalu. 

Kepada mahasiswa, anda generasi pemimpin masa depan negara. Yang dituntut di menara gading bukan sekadar segunung ilmu tetapi selautan kematangan dan kedewasaan. Jangan berhenti menyuarakan hak anda. Katakan benar biarpun pahit!

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.