Monday, January 11, 2010

Nik Aziz: Antara Hadiah Kek & Bangkai Dinosaur



bau kek rasa lebih busuk dari bangkai dinosaur?                  



Selepas aduan ke SPRM  mengenai tajaan menunaikan haji di Mekah tidak lama dulu, kini TG Nik Aziz diasak dengan tuduhan penyelewengan lagi. Yang mengasaknya seperti dulu-dulu juga ialah Umno yang hampir berputus asa untuk  merebut balik negeri itu dari genggaman Pas. Ketua Penerangan Umno Negeri yang juga ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad memberitahu  Malaysiakini hari ini seseorang yang enggan dikenali telah melaporkan TG Nik menerima hadiah kek seberat 10 kg bernilai lebih RM500, daripada menantunya Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Abdul Ariffahmi Ab Rahman, ketika Ariffahmi menjawat Ketua Pegawai Operasi perbadanan itu.

"(Perkara) ini saya fikir mungkin "penyelewengan yang paling kecil" berbanding dengan yang lain-lain, macam jerawat kecil yang sudah pecah," kata  Md Alwi.



Saya tidak tahu bagaimana rupa kek RM500, kerana kebetulan dari kecil saya tidak suka kek. Tapi saya setuju jika orang kata sama ada rasuah kecil bernilai RM500 seperti yang didakwa diterima TG Nik Aziz atau rasuah sederhana besar bernilai RM600,000 yang dikatakan diterima Rosmah di Dubai atau rasuah sangat besar bernilai berbilion ringgit yang dikatakan pernah diterima PM ketika menjadi Menteri Pertahanan dan rasuah-rasuah lain melibatkan menteri dan bekas menteri BN; ia tetap rasuah. Cuma yang menjadi persoalannya sama ada pihak yang menuduh mempunyai bukti atau tidak wujud unsur rasuah dan sama ada SPRM mahu siasat atau tidak kes itu.


Tapi bagi SPRM mungkin lebih mudah menyiasat kes-kes kecil kerana ia tidak rumit dan tidak memeningkan kepala. Kes sederhana besar atau besar yang melibatkan isteri menteri dan menteri bukan saja rumit, tapi silap-silap haribulan pegawai penyiasat boleh ditukarkan ke tempat lain atau lebih malang akan menjejaskan peluang kenaikan pangkatnya.


Apa pun, kita perlu mengucapkan tahniah kepada Md Alwi kerana dapat menghidu "penyelewengan" yang dilakukan oleh menantu Menteri Besar. Banyak sudah usaha yang dilakukan untuk membunuh karektor TG Nik Aziz sebelum ini dan ini satu lagi peluang terbaik untuk mencalarkan imej beliau yang sentiasa nampak sangat telus dan bersih itu.


Cuma saya agak kasihan dengan organ deria sesetengah orang yang cepat menghidu bau-bau kecil yang belum tentu busuknya, tetapi tidak dapat mengesan bau meloyakan bangkai besar dinosaur yang sudah lama terbujur di depan matanya.


~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.