Friday, January 22, 2010

Pegawai Penjara Kajang Nie Tak Tau Undang-Undang Ke?











Saya tidak tahu hendak kata apa dengan berita di dalam Malaysiakini hari ini. Ia bercampur baur antara rasa kasihan, bengang dan lucu.


Ia mengenai kisah seorang rakyat Indonesia, Mohd Ibrahim, 27 yang dijatuhkan hukuman penjara lima tahun mengikut Akta Imigresen 1963 pada bulan September tahun lalu. Mohd Ibrahim kemudiannya dimasukkan ke penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjaranya.

Dia kemudiannya mengemukakan rayuan pada Oktober 2009 untuk meringankan hukumannya. Tetapi baru-baru ini, peguamnya Renuka Bala berkata anak guamnya telah disebat sebelum kes rayuannya didengari oleh Mahkamah Jenayah. Ibrahim dikenakan tiga sebatan dan perkara itu dimaklumkan kepada beliau pada Isnin lalu. Mohd Ibrahim  dilapor disebat di penjara Kajang pada 26 Nov 2009 – sehari sebelum umat Islam meraikan Aidul Adha.
 

Renuka melahirkan rasa kecewa kerana tindakan menyebatnya dibuat sebelum rayuannya itu didengar oleh pihak mahkamah.

“Ini jelas melanggar peraturan. Ia menjadikan proses rayuan tidak lagi berfungsi. Pihak penjara perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.


Hari ini, Mahkamah Jenayah, menetapkan 22 Feb bagi mendengar rayuan Ibrahim.

Mungkin rayuan Ibrahim akan dipertimbangkan oleh mahkamah. Mungkin hukuman terhadap Ibrahim akan dikurangkan. Mungkin juga Ibrahim akan dibebaskan. Tapi dia telah menjalani tiga sebatan yang sangat menyakitkan sebelum keputusan muktamad dibuat.



Ibrahim adalah sebahagian orang-orang kecil yang menerima hukuman di negara ini. Penjenayah memang perlu dihukum. Tapi melaksanakan hukuman sebelum mahkamah paling tinggi memuktamadkannya adalah sesuatu yang memalukan. Pihak penjara seperti menghina undang-undang negara ini. Mereka berani menghukum orang sebelum mahkamah sendiri memutuskannya.

Entah di mana silapnya maka penjara Kajang melakukan sebatan tanpa keputusan mahkamah, tidak tahulah.  Mungkin si-tukang sebat itu telah lama tidak sebat orang, lalu tangannnya begitu gian untuk menyebat dan kebetulan Ibrahim yang menjadi mangsa. Atau mungkin si-tukang sebat sengaja ingin mengorbankan Ibrahim sebab itu sebatan dijalankan sehari sebelum hari raya Korban.



Pernah sebelum ini dilaporkan ada banduan yang mendapat layanan istimewa di penjara negara ini kerana mereka dari kalangan orang penting atau mereka yang punya banyak wang. Malangnya Ibrahim penjenayah biasa kelas bawahan yang boleh diperlaku sesuka hati.


~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.