Sunday, January 17, 2010

Pemangku Raja Kelantan: Raja Di Takhta, Rakyat Di Mata




Seorang ibu tunggal yang uzur di pinggir pantai Damat Bachok hidup bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama tiga anaknya. Dalam keuzuran itu, dia tergamam apabila diberitahu pemangku Raja akan singgah di rumahnya.


Azizah Abdullah, 41 yang hilang upaya kerana penyakit paru-paru dan asma tidak menyangka baginda sanggup menjengah teratak buruknya. Bagaimanapun kebimbangan itu tidak kekal lama. Seorang lelaki berkain pelikat berbaju gumbang (Melayu) dan berkopiah yang terpacul di muka pintu rumahnya sememangnya pemangku Raja yang disebut-sebut. Baginda duduk dan bersila lendik di hadapan Azizah dan anak-anak.

Tengku Mahkota Tengku Muhammad Faris Petra yang mengambil alih tugas Sultan yang sedang gering menyapa kabar. Mata baginda berkaca ketika tekun mengutip dengan setiap butir kata Azizah. Baginda yang membahasakan dirinya sebagai kita menasihatkan ibu malang itu agar terus tabah. Sambil menghulurkan sumbangan peribadi baginda mengingatkan tiga anak kecil itu jangan abaikan pelajaran agar kelak dapat membina hidup dengan lebih baik. 


Tengku Muhammad Faris Petra sebenarnya agak sepi daripada liputan media berbanding putera-putera Raja di negeri-negeri yang lain. Namanya bersemarak di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra - sekolah berasrama penuh terulung dan ternama di Kelantan.

(Oleh: Wan Zulkifli Wan Yaacob, MM)

PGK: Rakyat sentiasa mendambakan sentuhan Raja yang memahami masalah dan cita rasa rakyat, Raja yang tidak rasa dulinya tercemar kerana bersama rakyat gembel, Raja yang tidak merasa istana adalah tembok Berlin yang memisahkannya dengan realiti kehidupan rakyat dan Raja yang dapat memimpin negeri dan negara bukan sahaja dari atas takhta, tetapi juga memimpinnya dalam solat berjemaah.


Daulat Tuanku!!

1 comment:

Anonymous said...

terharu~

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.