Monday, January 4, 2010

Terima Kasih Majalah Herald dan Hakim Mahkamah Tinggi!!



Sepanjang minggu lepas, sekurang;kurangnya ada 2 isu yang menjadi tajuk utama dibincangkan dalam media dan blog maya ini. Pertama isu kehilangan enjin jet pejuang  5-E negara ini. Kedua isu kenaikan harga gula. Belum pun kedua-dua isu itu reda, negara dihebohkan pula oleh  kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Apabila pemimpin politik sudah ramai yang bercakap, apabila ramai yang  mula buat bising sambil bertakbir dan menjerit, maka keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah itu tiba-tiba menjadi isu yang sangat besar. Ia isu sangat besar hingga mereka yang tidak kelihatan seperti seorang Islam yang taat kepada agama pun menunjukkan mereka sangat sayangkan agama, sekurang-kurangnya mereka sayang nama Allah. Sayang hukum Allah hal lain pula!



Lalu tenggelamlah isu-isu lain.  Lalu terlupalah rakyat Malaysia ke mana menghilangnya enjin jet pejuang F 5-E kita, siapa yang bertanggung jawab menghilangkannya, siapa dalang amat berkuasa dan durjana yang menggunakan  ilmu David Copperfield menghilangkan enjin jet itu, apa modus operandi yang diguna pakai dan sebagainya.


Begitu juga dengan isu gula. Ketika kita sedang bersarapan dengan teh tarik kurang manis, kita terlupa seketika tentang  kekurangan gula di dalam cawan kerana hati sedang dibakar oleh amarah kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan Herald-The Catholic Weekly

Kini apabila negara dipesongkan dan tertumpu kepada isu kalimah Allah, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan boleh  tidur lena kerana isu enjin jet hilang dan gula naik harga tidak dibincangkan lagi oleh masyarakat.  Apabila Mahkamah Rayuan yang Ketua Hakimnya adalah ahli Umno kelak membuat keputusan menolak penggunan nama Allah seketika nanti, Umno akan kelihatan sebagai pemenang yang memperjuangkan isu yang mereka sendiri besar-besarkan itu.

Dan selepas isu penggunaan kalimah Allah ini selesai, kita pun sudah lupa kepada isu enjin jet F 5-E yang hilang dan gula dalam minuman yang kurang manis itu.


Selepas isu kalimah Allah ini selesai,  Najib bolehlah mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarang majalah Herald dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan kerana peranan besar  mereka yang berjaya  menghilangkan isu enjin jet yang hilang dan isu kehilangan kemanisan gula.




~ pendikar gunung kriang

1 comment:

PAPA said...

Assalamulaikum!Melayu TIDAK PERNAH BERKESEMPATAN BERDAKWAH (secara hikmah kepada bukan Islam) lalu setengah puak yang mengakun Islam mengambil kesempatan mempermainkan nama 'Allah', menerbitkan isu nama Allah).Alangkah bersyukur rasanya di hati seorang Islam jika sekiranya dia dapat mengajar seorang bukan Islam cara menyebut nama 'Allah' dengan dengan penuh tenang dan ikhlas (dalam masa yang sama hatinya mendoakan hidayah ke atas bukan Islam berkenaan). Cuba bayangkan sekiranya dia menyebut dengan berulang kali. Allah itu Maha Kaya. Cuba bertanya kepada diri kita sendiri, pernah berapakalikah seumur hidup kita menyebut nama Allah dengan penuh tenang, ikhlas dan berserah diri? Cara sebutan inilah yang perlu diajar kepada rakyat bukan Islam dalam Malaysia ini semoga mereka LEBIH MENGENALI Allah sebagaimana kita yang masih wajib mencari lebih ilmu tentang Allah dan diri kita sendiri. Apakah Ini menjadi Isu yang besar?Tolong sampaikan kepada sahabat2 lain.

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.