Wednesday, January 27, 2010

Tuduh PR Pakatan Revolusi, Zul Dah Keterlaluan!!


KUALA LUMPUR, Jan 27 — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dilihat “sudah keterlaluan” ekoran kenyataan terbarunya mendakwa PKR dan Pakatan Rakyat (PR), yang diwakilinya, sedang menggerakkan revolusi untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Setiausaha agung baru PKR Saifuddin Nasution berkata kenyataan Zulkifli adalah sangat serius kerana PR yang dianggotai tiga parti telah bersetuju dengan memeterai Dasar Bersama bulan lalu.

Dasar itu menekankan pendirian menerima Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, hak keistimewaan Bumiputera dan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

“Bagi saya ia satu kenyataan serius dan tiada asas sama sekali... jadi saya tidak tahu apa asas beliau apabila mengatakan adanya agenda revolusi dalam PKR dan Pakatan. Ini adalah fakta kerana kita ada dokumen, yang ditandatangani pemimpin dari tiga parti, di mana beliau sendiri hadir pada majlis konvensyen Pakatan tempoh hari. Yang mengejutkan saya ialah ada Ahli Parlimen yang tidak sedar tentang kewujudan dokumen ini dan tidak bersedia untuk menerima hakikat,” kata beliau kepada The Malaysian Insider di sini.

Dalam temu bual dengan akhbar tempatan, Zulkifli yang menjadi personaliti tumpuan arena politik tempatan sejak seminggu lalu berkata “saya percaya mereka (PKR) ada agenda mereka sendiri, bukan untuk pembaharuan. Agenda mereka adalah revolusi. Di mana mereka mengubah fundamental asas tunjang masyarakat, misalnya menjadikan Islam dan agama lain sama taraf. Hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, saya merasakan mereka akan keluarkan. Saya tidak memanggil ia sebagai pembaharuan, ia adalah satu revolusi. Jadi ia harus dimaklumkan kepada orang ramai kerana mereka mesti tahu ini yang akan kita (dalam Pakatan) akan lakukan jika kita mengambil alih kerajaan,” kata Zulkifli.

Zulkifli juga memberita beliau tidak bersetuju dengan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah tunjang negara.

Malah kata Saifuddin, isu PR akan meminda Perlembagaan Persekutuan juga tidak timbul kerana kesemua komponen ikatan sudah bersetuju dengan empat perkara asas yang dijelaskan dalam Dasar Bersama.

“Ini adalah satu kenyataan yang amat mengelirukan,” katanya lagi.

Saifuddin berkata Zulkifli seharusnya bersedia untuk menerima hakikat bahawa PKR dan PR sudah berjalan jauh dan beliau harus berlapang dada untuk menerima hakikat semasa.

“Pandangan Zulkifli tidak betul... kita ada Dasar Bersama, kita sudah jauh ke hadapan. Saya tahu Zulkifli seorang banyak membaca. Jalan keluar ialah, apa yang beliau perlu lakukan ialah baca dokumen Dasar Bersama itu... tidak wajar beliau membuat kenyataan mendakwa ada pihak yang mahu menyamakan agama Islam sama taraf dengan agama lain,” katanya lagi.

PKR semalam membuat keputusan merujuk kes Zulkifli kepada Lembaga Disiplin parti untuk menyiasat serta membuat keputusan terhadap beliau dalam masa 30 hari. Parti juga mengeluarkan “gag order” atau larangan supaya beliau tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh memudaratkan parti serta merosakkan perpaduan PR.

Ahad lalu, beliau membuat laporan polis agar rakan sejawatannya dari Shah Alam, Khalid Samad, wakil PAS supaya disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengesyorkan enakmen agama Islam Selangor dikaji semula.

Sementara itu anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Zaid Ibrahim dalam blognya berkata, keputusan semalam tidak mencerminkan keseriusan parti itu menyelesaikan isu disiplin di kalangan ahlinya.

“Hebat bunyi keputusan PKR. Nak ikut “due process “ atau proses keadilan dalam undang-undang. Sebenarnya ramai orang merasakan PKR tidak serius untok mengambil tindakan. Malah ada yang mengagak tidak akan ada satu keputusan yang tegas akan diambil dalam tempoh tersebut,” katanya.

Zaid berkata beliau yakin PKR tidak mampu mempertahankan sesuatu prinsip utama dalam perjuangannya.

Ketika ditanya pandangan bahawa Zulkifli bertindak seolah-olah beliau tidak boleh disentuh, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PKR sebenarnya mahu memberi peluang keadilan yang secukupnya kepada wakil rakyat itu.

“Kami hendak memberikan beliau semua pilihan mengikut semangat keadilan sejagat,” kata beliau sambil menambah, parti hendak memberinya segala ruang prosiding.

Saifuddin berkata PKR tidak bertindak berhubung pendiriannya tentang isu kalimah Allah.

“Tetapi kami ambil tindakan apabila laporan polis beliau (ke atas Khalid Samad) yang membelakangi saluran dan mekanisme parti,” katanya.

“Kami tidak bertindak kerana beliau memperjuangkan Islam, kami tidak bertindak kerana beliau seorang pejuang Islam atau pejuang Melayu... tapi bertindak kerana membuat laporan polis dan ini adalah isu pelanggaran disiplin,” katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, Zulkifli sebagai wakil rakyat dan ahli PKR seharusnya menghormati aspek disiplin parti.

(Sumber: Malaysian Insider)

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.