Monday, February 1, 2010

Hang Nak Buat Apa Kat Aku Pun, Buatlah!

Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata tindakan disiplin yang didesak sesetengah pihak dalam parti itu adalah tidak relevan dan Umno boleh mengambil apa sahaja tindakan yang mereka inginkan.

“Apa sahaja (tindakan yang) mereka hendak lakukan ke atas saya adalah tidak relevan. Isunya ialah apa yang undang-undang kata. Undang-undang ialah Akta Pembangunan Petroleum yang membawa kepada kelahiran Petronas dan memberi Kelantan dan Terengganu hak perundangan kepada lima peratus hasil minyak yang ditemui di pesisir (pantai),” kata Tengku Razaleigh (gambar) kepada Astro Awani hari ini.

Bekas menteri kewangan ini memberitahu sebagai (bekas) pengerusi Petronas beliau menggubal akta itu dan memeterai perjanjian-perjanjian berkaitan atas arahan Allahyarham Tun Razak, yang merupakan perdana menteri kedua.

“Oleh kerana beliau mahu memastikan negeri-negeri miskin di Semenanjung akan mendapat faedah daripada minyak ditemui di pesisir. Beliau mengetahui bahawa mereka tiada minyak di darat atau dalam lingkungan perairan negeri,” katanya.

Kata Tengku Razaleigh isunya sekarang bukan beliau, di sebalik soal perundangan dan hak rakyat dalam pertikaian mengenai tuntutan wang royalti petroleum.
Sehubungan itu jelas beliau Umno boleh berbuat apa sahaja yang mereka “inginkan.”

“Lebih-lebih lagi mereka masih perlu berurusan dengan soal undang-undang dan menghadapi rakyat,” katanya.

Beberapa pihak dalam Umno menggesa agar parti mengambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh berikutan kenyataannya Khamis lepas yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan kini patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukannya wang ihsan.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh, yang pendiriannya bertentangan dengan kerajaan pusat berhubung bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Kata Mustapa, hanya Majlis Tertinggi Umno yang boleh membuat keputusan dalam soal itu.

Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pula berkata pucuk pimpinan parti akan meneliti ucapan Tengku Razaleigh itu.

Mustapa baru-baru ini mengumumkan kerajaan pusat akan menyalurkan RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan bagi menggantikan royalti minyak dan jumlah itu merupakan lima peratus daripada hasil perolehan gas dan petroleum di perairan Kelantan pada 2008.

(Sumber: Malaysian Insider)

1 comment:

Anonymous said...

ikut mu lah ameno... aku peduli apa!!!

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.