Sunday, March 7, 2010

Diumumkan Orang Paling Popular Hari Ini....Zul Kulim!!

Sejak dulu Zul Kulim ini memang suka publisiti.  Kerana suka publisitilah dia beriya-iya  menawarkan dirinya  untuk menjadi peguam Anwar ketika kes Liwat I tahun 1998 dulu. Dengan menjadi salah seorang peguam Anwar, namanya diletakkan sebaris dengan nama-nama besar lain dalam senarai peguam Anwar: antaranya Raja Aziz Addruse, Christopher Fernando, Sulaiman Abdullah, Karpal Singh,  Zainur Zakaria, dan Gurbachan Singh. Dengan meletakkan namanya sebagai peguam Anwar, dia merasa dirinya sebagai peguam besar dan hebat, walaupun peranannya sebagai peguam Anwar tidak menonjol langsung berbanding Raja Aziz, Fernando dan Sulaiman Abdullah. Malah jika dibuat penilaian adil boleh dikatakan dalam barisan peguam Anwar ketika itu, Zulkiflilah yang paling lemah.

Tapi Zulkifli berjaya menggunakan kedudukannya sebagai peguam Anwar untuk mempopularkan dirinya. Sebab itu bila dia menjadi calon pilihanraya umum lalu di Kulim-Bandar Baru, dia menggunakan poster bertulis "Zulkifli Nordin Peguam Anwar Ibrahim" untuk orang mengenalinya:





Jika tidak menggunakan nama Anwar di sebelah namanya, siapa sangat yang mengenali Zul?

Lepas menang pilihanraya umum ke-12, nama Zul banyak kali masuk akhbar kerana tindakan melawan arusnya. Kononnya segala tindakannya itu adalah kerana ia lebih sayangkan agama berbanding parti. Kononnya lah!! Yang bukan konon-kononnya, yang sebenar-benarnya, sayang Zul kepada agama sangatlah diragui. Zul sendiri tidak popular di kawasannya kerana dia jarang turun padang - satu tindakan yang tidak patut dilakukan oleh seseorang yang sayangkan agama, yang pasti sentiasa bersedia berkhidmat kepada rakyat yang mengamanahkannya sebagai wakil rakyat.


Yang bukan konon-kononnya, yang sebenar-benarnya, dia melakukan tindakan melawan arus parti itu kerana dia sukakan publisiti. Noktah.
Hari ini, Zul menjadi orang yang paling popular di Malaysia.  Semua akhbar berbahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil meletakkan gambarnya di depan kerana tindakannya keluar PKR. Kalau masyarakat Sikh dan Siam mempunyai akhbar mereka sendiri, pasti gambar Zul juga akan berada di muka hadapan akhbar-akhbar mereka.

Hari ini puncak publisiti yang Zul harapkan telah menjadi kenyataan. Dia menjadi orang paling popular hari ini - lebih popular dari Najib dan Muhyiddin yang hari ini nama mereka gagal ditempatkan dalam tajuk utama akhbar.

Hari ini Zul yang gila publisiti itu pasti memborong semua akhbar Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil yang memuatkan berita mengenainya. Mungkin juga dia akan menelefon Kota Kinabalu dan Kuching sama ada akhbar-akhbar tempatan di negeri-negeri itu turut meletakkan gambar dan beritanya di muka hadapan. Jika ada, dia pasti menempahnya.

Apa pun, tahniah kepada Zul kerana menjadi orang paling popular hari ini!!!


~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.